Ahad, 7 Januari 2018

Rumusan Minggu Pertama



Secara akademiknya, dapat belajar empat perkara dalam masa empat hari ini.

🌼 Bahasa Arab

Kami menggunakan Buku Teks Bahasa Arab Tahun 3. Bab 1 dirangkumkan di dalam sebuah lapbook.

Pelajaran yang sama tetapi pelaksanaan (latihan dan pengayaan) berbeza mengikut umur dan kemampuan anak.


Dari pagi hingga malam, belum juga siap. Insya Allah sambung minggu hadapan.

Kami belajar :

- huruf hijaiyah
- 4 kalimah benda yang biasa ada di rumah
- 4 kalimah kata nama
- nombor (20, 30, 40, 50 dan 60)
- ucapan memperkenalkan diri

🌼 Sains

Topik Benda Hidup dan Benda Bukan Hidup. Saya ajak anak-anak baca ayat dari Surah Yunus ayat 3.

Ada juga soalan cepu cemas anak-anak. Arasy tu apa ummi? Allah duduk atas apa? Ha sudah... Ni kita cerita nanti ya ;)

Kami belajar di halaman rumah. Alhamdulillah, atok mereka sangat rajin bercucuk tanam. Ada pokok mangga, pokok nanas, pokok buah naga, pokok kari, serai, pokok kedondong, pokok betik, pokok pisang, daun pandan dan pokok bunga di sekeliling rumah.

Jadi anak-anak belajar mengenal tanaman dan mengklasifikasikan kepada benda hidup atau benda buka hidup.

Alhamdulillah juga, apabila ada seekor dua tupai melintas di hadapan rumah. Ia meniti kabel elektrik di sepanjang jalan.

🌼 Tadabbur Al-Quran

Kami memilih kisah Nabi Yusuf yang dibaca pada Surah Yusuf ayat 4 hingga 18.

Buku yang kami gunakan :

- Al-Quran terjemahan
- Buku 70+ Aktiviti Cinta Al- Quran
- Buku cerita Nabi Yusuf a.s Dimakan Serigala terbitan Ana Muslim.

Aktiviti :

Mewarna plot cerita
Membuat buku mini
Menampal kad ayat
Anak-anak menceritakan kembali kisah ini kepada orang lain. 

Ini melatih kemahiran berkomunikasi, membina keyakinan diri dan mempertajamkan ingatan.

🌼 Bahasa Melayu

Tema Keluargaku. Saya cetak gambar ahli keluarga kecil kami dan tunjuk cara kepada anak-anak bagaimana membina carta keluarga nukleus.

Sudah pasti dibacakan ayat cinta dari Al-Quran iaitu Surah At-Tuur ayat 21 iaitu Allah akan himpunkan zuriat anak cucu di syurga jika sama-sama dalam keimanan.

Mahu masuk syurga sama-sama?
Mahuuuu.

Maka mari kita jadi hamba yang soleh dan solehah ya.

Okayyy!!! 

Amin..amin..

Minta maaf gambar tak dapat dimuatnaik kerana ada masalah pada laptop dan telefon saya. Insya Allah di lain entri.

Barakallahufikum.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015