Ahad, 24 Disember 2017

Anakku, bijaklah memilih bahan bacaan


Suatu masa dahulu, saya gemar mengikuti perkembangan buku dan majalah kanak-kanak dan remaja. Saya cuba baca, fahami dan membuat ulasan. Niatnya mahu menyebarkan lagi bahan bacaan yang baik dan bagus untuk bacaan anak-anak di luar sana.

Salah satu sebabnya dengan munculnya lambakan drama di televisyen yang berdasarkan novel popular. Waktu itu, saya semakin sedar, saya tidak mungkin dapat membaca semua novel popular itu sebab tidak tergerak hati mahu membacanya.

Saya fikir, hidup ini tidak lama jadi jangan bazirkan masa membaca buku yang kita tidak minat dan mendatangkan faedah.

Semasa mengendalikan usrah remaja, saya wujudkan satu sesi bedah buku. Anak-anak ini diberi pilihan reviu apa sahaja buku kegemaran mereka. 

Waktu itulah saya jumpa buku Fixi, Suamiku Encik Sotong, Sebenarnya Saya Isteri Dia, Suamiku Imam Muda, majalah Galaxy dan beberapa tajuk lagi. Ada juga yang memilih buku dari penulis Ain Maisarah.

Menarik apabila kendalikan sesi ini. Nampaklah anak-anak ini aktif dalam perbincangan. Dan mereka yang membaca novel popular ini masih berusia 11 - 12 tahun ketika itu.

"Seronok ke kisahnya?"

Besttt kak yana!

"Oh, faham ke ceritanya?"

Err..tak faham sangat kak. Tapi drama dia best!

"Apa nilai yang baik kamu dapat dari cerita ni?"

Ada kak. (Lalu disenaraikan..)
1...
2...
3...

"Ooh kalau macam tu kamu fikir ada tak nilai yang tak ok?"

Haah ada juga kak.

1...
2...
3...
4...
5...

"Err..ni rasa lebih banyak tak ok dari ok ni?'

Mereka ketawa. 

Panjang lagi perbincangannya. Lalu, perlahan-lahan saya perkenalkan variasi penulis dan penerbit bahan bacaan lain yang bagus dan berilmu untuk dibaca.

Majalah Gen-Q, Majalah Solusi, Majalah JOM!, buku-buku Dato' Dr Zulkifli (Mufti WP), novel kanak-kanak terbitan DBP, PTS dan Galeri Ilmu, seleksi buku Ain Maisarah dan lain-lain.

Antara hand out yang dibuat dahulu :




Lama selepas itu baru saya ketahui, ada yang mula menggemari tulisan-tulisan penulis di atas. 

Masa pantas berjalan, anak-anak ini semakin membesar dan semakin jauh menyambung pelajaran. Yang masih di kampung, sudah menjadi anak dara sunti, segan-segan pula menegur sapa. 

Apa pun saya berdoa agar semuanya dalam jagaan Allah dan kukuh mengikut batasan syariat. Moga jadi anak-anak yang solehah. Amin.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015