Sabtu, 4 November 2017

Manisnya 'sebuah' Ramadan


Saya ni, suka peram cerita. Hari ini baru nak tulis di sini.

Ramadan tahun ini berbeza dengan apa yang dilalui sebelum-sebelum ini. Rasa bahagia.

Saya menyambut Ramadan 1438 sebagai seorang 'domestic engineer'. Kelebihan bercuti tanpa gaji saya gunakan sebaiknya. Pagi-pagi selepas Subuh, berjalan kaki dengan anak-anak ke masjid untuk tadarus bersama kaum ibu. Suami dan anak lelaki terlebih dahulu sudah ke masjid untuk solat Subuh berjemaah. Kemudian langsung tadarus bersama anak-anak remaja.



Kedua, anak sulung saya turut sama mengaji dan dia tidak lagi kekok berhadapan dengan orang ramai. Nenek-nenek pula tu :) Subhanallah, nikmat Allah yang manakah mahu saya sangkal? Moga anak-anak saya kukuh menggenggam Islam dan memahami al-Quran sehingga nafas terakhir mereka. Amin.



Kumpulan tadarus kami agak ramai. Lebih 15 orang dalam satu-satu masa. Kebiasaannya kami membaca 2 juzuk dan mengambil masa hampir 1 jam setengah.

Hari pertama, saya tidak begitu bersedia akan kelengkapan anak-anak. Ada yang tidur, ada yang merengek lapar, ada yang mahu bermain dan macam-macam ragam.

Hari kedua, saya siapkan lebih awal - bekalan makanan, selimut kecil (alas tempat tidur), bantal kecil, air minuman, pensel warna, buku mewarna, pampers. Hah, macam poket Doraemon dah ummi ni ^_^

Saya suka berada dalam kumpulan tadarus ini. Ibu-ibu ini hebat sekali mengaji al-Quran. Pantang ada sedikit kesalahan, mereka cepat membetulkan. Tajwid dan taranum pun masya Allah. Mereka punya semangat membaca al-Quran sangat wajar dicontohi. 

Kami khatam hari ke-15 Ramadan. Subhanallah, di saat akhir, kami mendapat penaja untuk majlis khatam Quran. Semua orang mendapat sebuah al-Quran terjemahan per kata. Moga Allah memberkati beliau. Khaulah orang yang paling gembira, Sehingga kini dia menggunakan Quran tersebut. 




Selain tadarus bersama kaum ibu, saya turut bertadarus bersama anak-anak remaja perempuan. Meskipun tidak sempat khatam kerana cuti sekolah hanya 2 minggu dan hanya baca 1 juzuk sehari, tapi saya kagum dengan semangat mereka untuk istiqamah membaca al-Quran. Barakallahufikum.

Tahun ini pertama kali saya merasai iktikaf di masjid pada 10 malam terakhir. Pada awalnya, saya dan anak-anak hanya pergi pada malam ganjil, tapi kemudiannya saya minta izin suami untuk sama-sama iktikaf sehingga hari terakhir ramadan.

Masjid baru, dalam sebuah pusat tahfiz yang baru dan hanya keluarga kami yang iktikaf di situ memberi kelebihan kepada saya dan anak-anak. Ada sedikit ruang privasi. 

Syawal disambut dengan rasa sederhana. Lebih terasa kesan Ramadan berbanding dahulu teruja dengan kedatangan Syawal. Allahu akbar, ruginya masa dahulu dibazirkan dengan perkara yang tidak penting. Mudah-mudahan kami bertemu ramadan lagi.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015