Selasa, 6 September 2016

Cuti-cuti ke Pangkor





Selepas siri Asma' digigit penyengat itu, sebenarnya keesokan harinya kami sudah merancang ke Pulau Pangkor dengan menaiki bas persiaran. Kami sudah menempah lebih awal dengan sebuah agensi pelancongan. Tidak lama. Cuma satu malam. Mujur Asma' sudah sihat dan aktif seperti biasa.

Sukalah anak-anak kerana mereka memang sudah lama mahu merasa naik bas.

Kami pergi pada hari Sabtu (21 Mei) dan pulang keesokan harinya. Bas bertolak jam 6.53pagi kerana kamilah peserta rombongan paling akhir sampai. Malunyalah.. Apabila dilihat, kami sahaja membawa anak kecil. Peserta lain semuanya berpangkat "nenek dan datuk muda" dan beberapa orang remaja. Mungkin anak-anak mereka :)

Anak-anak langsung tidak tidur sepanjang perjalanan. Saya dan suami pula yang seolah-olah bergilir-gilir tertidur. Namun hanya tidur-tidur ayam kerana mengenangkan anak-anak yang segar-bugar. Bimbang pula terjadi apa-apa.

Alhamdulillah semua bersikap baik. Mereka banyak berdiri untuk melihat pemandangan melalui tingkap bas. Televisyen menayangkan cerita hantu dari Thailand namun anak-anak tidak tertarik untuk melihatnya.

Sesampainya di jeti, kami makan dahulu sebelum menaiki feri. Alhamdulillah sekali lagi, Allah datangkan ahli rombongan yang baik hati. Ada yang membantu membawa beg, ada yang membantu memimpin salah seorang anak kami dan ada yang membantu ketika urusan memasuki feri. Mujurlah anak-anak tidak mabuk laut. Jika tidak, haru!

Sesampainya di Pulau Pangkor, kami terus melawat beberapa tempat seperti kedai menjual makanan, cenderahati, Galeri Pangkor, Kota Belanda (betulkah namanya? Sudah lupalah) dan sebuah tokong Cina yang besar. Saya sudah kepenatan. Mahu rehat sahaja rasanya. Melihatkan anak-anak yang super excited, menggeleng juga kepala saya. Haha..mujur ada suami yang sabar melayan semua.

Kami menginap di Purnama Beach Resort. Anak-anak teruja ada kolam renang dan sudah bising mulut mahu mandi-manda di situ. Malang sekali, saya sudah angkat dua tangan tanda surrender. Nampaknya abi merekalah yang terpaksa melayan. Hee...

Malam itu pihak agensi menyediakan makanan secara barbeque namun disebabkan asap yang banyak, saya dan anak-anak  mula batuk-batuk. Sudahlah saya tertinggal ubat-ubatan. Allahu..Alhamdulillah, makanan sedap dan kenyang kami sekeluarga. Kami tidak menunggu acara seterusnya kerana benar-benar keletihan. 

Esok paginya, suami membawa anak sulung dan anak kedua pergi snorkeling melihat ikan di laut. Saya menemani anak ketiga mandi kolam sehingga dia benar-benar puas. Kemudian, sempatlah kami berehat sambil menunggu semua peserta yang pergi snorkeling pulang. Sempat jugalah anak-anak yang lain mandi-manda di kolam renang. 

Destinasi seterusnya adalah pusat membeli-belah dan singgah sebentar untuk solat di dua buah masjid. Dalam perjalanan pulang, pihak pengurusan membuat cabutan bertuah dan kami menang sebuah hamper! Alhamdulillah. Seronok :)

Kami tiba di rumah jam 10.30 malam. Meskipun penat, tapi puas hati dapat memberi pengalaman kepada anak-anak. Banyak sunnah-sunnah yang dapat diterapkan pada anak-anak sepanjang musafir dua hari ini.

1. Doa keluar rumah
2. Doa masuk rumah
3. Doa berhenti di sesuatu tempat
4. Doa melihat langit
5. Bacaan ketika naik tempat tinggi
6. Bacaan ketika turun dari tempat tinggi
7. Doa makan 
8. Doa kepada orang yang memberi makan dan minum
9. Memberi salam kepada orang Islam yang lain
10. Doa sebelum dan selepas bangun tidur
11. Doa naik kenderaan
12. Doa musafir
13. Doa apabila memasuki bandar 
14. Doa kepada orang yang ditinggalkan semasa kami bermusafir

Kami tidak sempat buat buku skrap. Hingga kini pun, gambar tersimpan rapi dalam laptop sahaja. Hehe..


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015